TENTANG CITF
JAWATANKUASA PETUGAS KHAS IMUNISASI COVID-19
COVID-19 IMMUNISATION
TASK FORCE
Penubuhan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) adalah berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 20 Januari 2021 bagi memastikan pengagihan vaksin dapat dibuat dengan sempurna.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) diberi mandat untuk menguruskan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dari aspek bukan perkhidmatan kesihatan khususnya isu-isu berkaitan logistik dan penyelarasan dengan negeri-negeri dan agensi-agensi Kerajaan.

Kementerian Kesihatan pula akan meneliti aspek fungsi-fungsi perkhidmatan kesihatan dalam menangani penularan wabak COVID-19.

Dalam melaksanakan fungsi tersebut, Menteri Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah dilantik sebagai Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Beliau juga akan mengetuai Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) di bawah Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).
SKOP KERJA
CITF bertindak sebagai Jawatankuasa Penyelaras dalam memantau rangka kerja dan strategi keseluruhan bagi menyokong pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Skop kerja jawatankuasa ini adalah termasuk:

a) Merancang, melaksana dan memantau pembekalan dan pengagihan vaksin, enrolmen vaksinasi, penyediaan Pusat Penyimpanan Vaksin dan Pusat Pemberian Vaksin, pelaporan KPI vaksinasi serta pengurusan risiko sepanjang pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan;
b) Melantik dan mengerah ahli/tenaga pakar/juru perunding dari pihak Kerajaan mahupun swasta dalam pelaksanaan tindakan serta menentukan sumber peruntukan untuk melaksanakan tugas;
c) Memberikan solusi dan intervensi yang diperlukan dalam menangani isu-isu utama dan cabaran dalam pelaksanaan; dan
d) Bertanggungjawab melaporkan kemajuan secara berkala tindakan setiap unit kerja di bawah CITF ke Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara.


Rajah: Struktur Organisasi
Hubungi kami di [email protected]